Masih sempat ana membaca sebuah puisi hasil nukilan teman seperjuangan ana yang terletak di sudut mejanya tatkala kami sedang sibuk menyiapkan tugasan yang perlu dilaksanakan.Di sebalik puisi yang dikarangnya tersembunyi kata-kata yang cukup bermakna.Dia telah membuktikan kepada ana yang manusia mampu mengorbankan cintanya kepada manusia untuk memperoleh cinta yang kekal abadi dalam hidupnya.Sejujurnya,ana sebagai teman baiknya dapat merasai kesungguhannya untuk memperolehi cinta Illahi.Ana dapat lihat kesungguhannya dalam menggapai cinta yang abadi dan ana dapat rasakan perasaannya ketika menulis puisi yang ditulisnya dengan ketulusan yang lahir dari sanubari.
Puisinya berbunyi begini:
Pabila cinta menyapa,
Manusia jadi lupa,
Semuanya jadi indah belaka,
Lalu kita bertindak tanpa memikirkan apa-apa,
Rela bersumpah untuk hidup setia,
Walaupun pelbagai dugaan yang melanda,
Sehingga diri semakin jauh dari Yang Maha Esa,
Dari seorang yang baik kepada sebaliknya,
Pabila si dia sudah tidak setia,
Kita sanggup menangis mengeluarkan air mata,
Lalu dirasakan bahawa diri sudah tidak berguna,
Sehingga jasad yang menjadi mangsa,
Tapi mengapa kita tidak sedar bahawa kita ada DIA?
Mengapa kita mencintai manusia melebihi cinta kita kepada Pencipta?
Dan mengapa kita hanya inginkan cinta yang dapat dilihat mata?
Sedangkan kita mampu memiliki cinta yang sebenar-benarnya?
Biarpun dia bukannya belajar di sekolah agama tetapi kecintaannya pada Yang Maha Kuasa melebihi segala-galanya...
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku maka dia akan bersamaku di syurga." ( Riwayat at-Tirmizi )
Saturday, 7 July 2012
Khilafnya diriku ini
Sesekali ana terfikir untuk menyatakan apa yang terbuku di ruang hati di laman facebook yang telah menjadi gilaan tatkala ini.Betapa khilafnya diri ini sehingga sanggup menulis apa yang terbuku di hati pada ruangan yang makin popular ketika ini padahal di sebalik semua itu masih ada tempat yang lebih baik untuk ana menzahirkan perasaan ini.Mengapa terkadang ana lalai dengan duniawi sedangkan ada kuasa yang lebih hebat dan unGgul di alam ini?Betapa khilafnya diri ini sehingga mengabaikan cinta Illahi yang akan kekal abadi?Ya Allah,betapa khilafnya diri ini.Ya Allah,Engkau pimpinlah hatiku ini untuk hanya mencintaiMU selamanya..
Kecilnya diriku ini di mata NYA
Seketika ana termenung sendirian mengenangkan ketentuan Ilahi terhadap diriku ini.Merenung kembali kisah srikandi-srikandi Islam suatu ketika dahulu.Apakah diri ini mampu menjadi sebaik mereka?Apakah diri ini mampu menjadi sehebat mereka?Merekalah wanita-wanita hebat yang tidak pernah berputus asa dengan janji Allah.Mereka sungguh tabah dalam perjuangan untuk memperjuangkan agama yang suci ini.Mereka rela mengorbankan nyawa mereka hanya demi agama yang suci ini.Apakah ana mampu menjadi seperti mereka?Apakah ana mampu menjadi seperti Sumaiyyah yang tetap berpegang teguh pada agama Allah yang benar walaupun beliau diseksa oleh manusia yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.Mampukah ana menjadi setabah beliau yang diseret di tengah-tengah padang pasir yang terlalu panas dek sinaran matahari yang menyinari kegelapan alam?Mampukah ana menjadi seperti Mashitah yang tetap teguh mempertahankan agamanya walaupun beliau diseksa dengan hukuman oleh manusia yang langsung tidak mempunyai kemanusiaan?Mampukah ana menjadi seperti Fatimah Az-Zahra yang sentiasa taat kepada suami dan juga ayahnya?Sesungguhnya,diri ini masih lemah untuk menjadi sehebat mereka.Diri ini masih memerlukan bimbingan dari DIA Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu.
Friday, 6 July 2012
Hati yang bagaimana oh Tuhan?
Alhamdulillah, setelah sekian lama penulis mencari, akhirnya bertemu juga penulis dengan sebuah buku karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang berjudul "Al-Farqul Bayaaniy Baina Awliaaus Shaytaan wa Awliaaur Rahmaani", yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu, "Perbezaan Yang Nyata Antara Wali Syaitan dan Wali ar-Rahman". Buku yang didapati penulis pula judulnya di dalam bahasa Indonesia, iaitu "Wali Allah vs Wali Setan".
Bukanlah kelayakan penulis, untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa yang sudah dibawakan oleh Ibnu Taimiyah dengan begitu kemas sekali. Cuma sahaja penulis tertarik dengan syarat yang telah diberikan Allah S.W.T, bagi kita mencapai kasih dan cinta-Nya. Perkataan 'wali' itu sendiri, bermaksud rapat, hampir dan karib. Terdapat sebuah hadis di dalam Sahih Bukhari yang berbunyi, Allah S.W.T berfirman:
"Hamba-Ku adalah dia yang banyak mengerjakan amalan sunat, yang mana dia mengerjakannya sehingga Aku menyintainya. Dan apabila Aku menyintainya, Akulah matanya semasa dia melihat, Akulah telinganya semasa dia mendengar, Akulah tangannya ketika dia memukul. Apabila dia meminta nescaya Aku akan memperkenankannya, apabila dia memohon perlindungannya nescaya Aku akan melindunginya."
Begitulah petikan hadis dari Sahih Bukhari, dan hadis ini menurut Ibnu Taimiyah adalah hadis yang paling sahih yang membicarakan berkenaan wali Allah. Hadis ini selari dengan sabda Nabi S.A.W:
"Takutilah kamu pandangan orang yang beriman, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah S.W.T."
Kebolehan dan perkara-perkara ajaib yang pernah terjadi kepada para wali Allah S.W.T, yang kita dapati di dalam hadis-hadis yang sahih, merupakan perkara yang benar-benar berlaku. Cuma sahaja perbahasan mengenai keramat para wali ini, tidaklah penulis akan bawakan di sini bahkan pada masa akan datang insya-Allah.
Pada kali ini, penulis ingin menekankan amalan-amalan sunat yang sunnah, yang mana penulis memandang penting dan sangat baik untuk kita amalkan dalam mengejar cinta Allah S.W.T. Andaikata kita membaca tentang ibadah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, secara pasti akan terasa insaf di hati, kerana sempurna dan kualitinya amalan mereka, tanpa mengenal erti penat dan jemu, jauh sekali jika dibandingkan dengan amalan kita yang ingat-ingat lupa ini.
Oleh itu marilah kita mengejar cinta Allah S.W.T, dengan mengerjakan amal-amal sunat yang sunnah, moga kita beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat, dikasihi Allah S.W.T, dilindungi dan dikabulkan segala permintaan kita.
Di antara amalan sunat yang sunnah ialah:-
1) Mengerjakan solat sunat selepas dan sebelum solat lima waktu
i) Solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, yang mana merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah S.A.W. Diriwayatkan bahawa jikalau Baginda S.A.W bermusafir, maka solat-solat sunat yang lain akan ditinggalkan, akan tetapi baginda S.A.W akan tetap dengan solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.
ii) Solat sunat dua rakaat sebelum Zohor, dan solat sunat dua rakaat selepasnya.
iii) Solat sunat dua rakaat sebelum Asar.
iv) Solat sunat dua rakaat selepas Maghrib.
v) Solat sunat dua rakaat sebelum dan selepasnya Isyak.
Perhatikan bahawa penulis tidak menulis solat sunat selepas solat Subuh, selepas solat Asar dan sebelum Maghrib. Ini kerana dua waktu di dalam sehari, iaitu dari waktu setelah terdirinya solat Subuh hingga sampai waktu Dhuha, dan juga waktu setelah terdirinya solat Asar hinggalah ke waktu Maghrib, ini dinamakan waktu tahrim, iaitu haram solat ketika ini. Kerana itu amalan solat sunat dua rakaat setelah Subuh, setelah Asar dan sebelum Maghrib bukan amalan sunat yang sunnah dari Rasullullah S.A.W.
2) Solat sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha juga merupakan amalan baginda S.A.W. Aisyah r.a berkata:
"Baginda S.A.W solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah tinggalkan Dhuha".
Dan juga di dalam hadis lain:
"Baginda S.A.W tidak solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah solat Dhuha".
Maksud dari hadis yang zahirnya kelihatan bercanggah ini, ialah Rasulullah S.A.W ada bersolat Dhuha dan tidak pernah meninggalkannya, sehingga nampak di mata manusia Baginda S.A.W tidak pernah meninggalkan Dhuha.
Dan ada juga masanya Baginda S.A.W meninggalkan Dhuha sehingga kelihatan seperti Baginda S.A.W tidak pernah bersolat Dhuha. Hal ini bagi menunjukkan bagi kita bahawa solat Dhuha kekal solat sunat, dan bagi yang mampu mengerjakannya, kerjakanlah dan ianya tidak berdosa jika ditinggalkan.
Ianya juga dari tabiat Rasulullah S.A.W untuk mengerjakan amalan sunat, dan adakalanya Baginda S.A.W meninggalkannya, kerana dari sifat Baginda S.A.W bahawa Baginda S.A.W khuatir andaikata Baginda S.A.W mengerjakannya setiap hari tanpa langsung meninggalkannya, maka Allah S.W.T akan mewajibkan solat Dhuha kepada kita, yang mana kita tidak akan mampu untuk mengerjakannya secara wajib setiap hari.
Kepada para sahabat Baginda S.A.W menyarankan solat Dhuha, sebagaimana di dalam hadis Abu Hurairah ra, katanya kepada Rasulullah S.A.W:
"Ya Rasulullah, nasihatilah aku". Maka jawab Baginda S.A.W, "Ya Abu Hurairah, berpuasalah kamu, walaupun hanya tiga hari, tetap saban bulan. Kerjakanlah solat Dhuha, walaupun dua rakaat tetapi saban hari, dan kerjakanlah solat witir, walau satu rakaat tetapi saban malam".
3) Berpuasa Isnin dan Khamis setiap minggu, dan jika tidak mampu, tiga hari setiap bulan
Ini sebagaimana yang disarankan di dalam hadis di atas. Sungguh berpuasa Isnin dan Khamis merupakan puasa yang sesuai dengan kudrat kita, dan sungguh tidaklah umat ini mampu untuk berpuasa lebih dari itu.
Di dalam hadis Sahih Bukhari, menceritakan kepada kita Amru ibnu Al-'As, ketika beliau meminta dari Rasulullah S.A.W mengamalkan yang baik untuk dilakukan, Baginda S.A.W menyarankan agar beliau berpuasa Isnin dan Khamis. Dan beliau berkata:
"Sungguh aku mampu untuk berbuat lebih dari itu."
Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Berpuasalah kamu sebagaimana puasanya Daud a.s, iaitu kamu berpuasa sehari, dan berbuka sehari (iaitu selang sehari)."
Kata Amru r.a:
"Sungguh aku lebih mampu dari itu."
Maka kata Rasulullah S.A.W:
"Engkau tidak (mampu)."
Kemudian setelah Amru r.a mengamalkan puasanya Daud a.s, sebagaimana yang dimintanya dari Rasulullah S.A.W, katanya:
"Kemudian aku berhenti (dari puasa itu), kerana benar kata Rasulullah S.A.W, aku tidak mampu."
Ini selari dengan hadis Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah berpuasa penuh sebulan, melainkan di bulan Ramadhan. Adapun puasa Baginda S.A.W di bulan Syaaban, bukanlah puasa penuh, tetapi puasa majoriti hari-hari di dalam Syaaban.
Kerana itulah kata penulis, puasa Isnin Khamis adalah yang tercantik dan sesuai dengan kekuatan insaniah kita.
4) Solat Witir
Hakikatnya witir bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadhan, bahkan witir boleh dilakukan setiap malam, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis di atas. Dan juga witir itu tidak semestinya tiga rakaat, bahkan satu rakaat sahaja sudah mencukupi dan diterima. Insya-Allah.
5) Solat Tahajjud
Solat yang sangat dianjurkan Rasulullah S.A.W. Sabda Baginda S.A.W:
"Solat yang paling afdal (baik) setelah solat lima waktu ialah solat malam".
Ini kerana sabda Rasulullah S.A.W di dalam Sahih Muslim:
"Di setiap sepertiga malam, Allah S.W.T turun dari 'Arasy-Nya yang agung, ke langit dunia (langit pertama) seraya berfirman kepada para Malaikat:
"Adakah lagi di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Adakah lagi di antara mereka yang memohon sesuatu?" Nescaya Allah S.W.T akan mengampunkannya dan memakbulkan doanya."
Firman Allah S.W.T mengenai amalan ahli syurga di dunia ini, di dalam surah as-Sajadah:
"Jauh rusuk mereka dari tempat tidur mereka, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan yang takut (akan azab seksa Allah S.W.T di dunia dan di akhirat) dan penuh harapan (agar beroleh syurga kelak, dan beroleh kebaikan dan pahala di dunia)."
Sungguh doa di tengah malam merupakan doa yang mustajab, dan juga menambahkan ketenangan hati dan keyakinan kita kepada Allah S.W.T.
6) Wirid setelah solat lima waktu
Merupakan amalan Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat Baginda S.A.W. Kata Ibnu Abbas r.a:
"Aku melihat mereka (para sahabat) setelah solat meninggikan sedikit suara mereka berzikir".
Perlu diingatkan bahawa adab berzikir menurut yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, ada dua:
i) Tidak meninggikan suara terlalu kuat, atau mendiamkan diri terlalu perlahan.
Terdapat sepotong hadis di mana baginda S.A.W mendapati Abu Bakar dan Umar r.a sedang berzikir, yang mana Abu Bakar cuma mendiamkan diri tanpa sebarang suara. Maka Baginda S.A.W menghampiri Abu Bakar r.a dan bersabda:
"Mengapa engkau diam sahaja?" Jawab Abu Bakar r.a, "Ya Rasulullah, aku zikir dengan diam sahaja kerana bukankah Allah S.W.T tidak pekak?"
Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Tidak Abu Bakar, tinggikan sedikit suaramu."
Dan dihampiri pula Umar r.a, yang sedang terpekik terlolong berzikir, maka sabda Nabi S.A.W: "Mengapa engkau terpekik-pekik?"Jawab Umar r.a, "Ya Rasulullah, bukankah jika kita zikir kuat-kuat, syaitan akan lari?"
Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Perlahankan suaramu."
Ertinya zikir yang sunnah, ialah dengan suara yang sederhana, tidak kuat dan tidak lemah.
Dan dari zikir yang sunnah itu juga, adalah zikir sendirian, bukan secara berjemaah, kerana sebaik-baik amalan adalah amalan para sahabat, dan sahabat tidak pernah berzikir secara berjemaah.
Penulis juga ingin menegur saudara seislam penulis, yang merupakan imam-imam di masjid dan surau. Apabila setelah selesai solat, elok jikalau dicabut terlebih dahulu mikrofon yang digunakan ketika mengimami solat, kerana sungguh zikir dan perkataan kita setelah solat, mengganggu kyusuknya solat jemaah yang masuk masbuk, dan juga jemaah yang sedang mendirikan solat dengan makmum mereka.
Ini bukan perkara yang baik, kerana berzikir itu hukumnya sunat, manakala solat yang didirikan oleh jemaah lain adalah wajib. Maka apabila bertembung sunat dengan wajib, diberatkan dan diutamakan yang wajib terlebih dahulu.
ii) Berzikir tanpa menggugurkan mana-mana huruf yang ada di dalam zikir.
Sebagai contoh, ada masanya penulis mendengar mereka yang pada awal zikir, lengkap mengucapkan 'La ilaaha illallah', kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'illallah, illallah' sahaja.
Kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'hu,hu,hu' sahaja. Ini merupakan amalan yang tidak elok, tidak selari dengan amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, yang lengkap berzikir 'La ilaaha illallah' biar kesekian kalipun, tanpa menambah lajunya berzikir.
7) Doa-doa harian
Doa-doa seperti doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa memakai pakaian, doa melihat ke cermin, doa menaiki kenderaan, doa keluar rumah, doa masuk rumah, doa ketika ke masjid, doa masuk saf solat, bismillah sebelum makan dan doa setelah makan, kesemuanya adalah dari amalan Baginda S.A.W setiap hari.
Sungguh amalan-amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W itusangat banyak. Kita tidak akan mampu untuk beramal sesempurna Baginda S.A.W. Serba-sedikit yang penulis bawakan di sini, merupakan hanya sebahagian dari amalan baginda saw.
Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad saw, dan keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah, tambahkanlah kecintaan kami kepada sunnah Nabi-Mu Muhammad S.A.W, agar terasa ringan di hati kami untuk mengamalkannya.
Ya Allah, jauhkanlah sunnah Baginda dari sebarang bentuk fitnah, samada dari kata-kata yang keji dan perilaku bidaah, sungguh tipu daya syaitan itu adalah musuh kami yang nyata tetapi halus.
Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Kau berikan nikmat ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.
Amin.
Ya Allah, sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu?
Tiket Ke Syurga
Setiap manusia pasti mengimpikan syurga. Membayangkan diri bertelekan di atas dipan-dipan yang indah atau membayangkan diri berjalan sambil berlagu merdu di taman yang segar penuh keharuman, menebarkan harumnya bunga-bungaan di taman firdausi. Sungguh mengasyikkan. Namun tidak mudah untuk kita memasukinya kerana terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi.
Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menjalankan syariat-syariat agama dalam usaha mencari keredhaanNya. Hadiah berupa tiket ke syurga ini adalah hadiah yang paling tinggi nilainya daripada segala kenikmatan di dunia. Oleh kerana manusia tidak akan pasti dapat masuk ke syurga, maka banyak insan yang keraguan,gelisah dan bimbang. Sepanjang zaman manusia selalu berdoa kepada Allah agar ditujukkan jalan yang lurus agar dapat menggapai syurga.
Sesungguhnya ana yakin pada janji NYA
Tiada Kekuatan Selain Allah
'"Lahaula Wala Quwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim."
"Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."
Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar (r.a.) memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama islam yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w).
Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah (s.w.t).
Malahan kuasa tersebut dikurniakan oleh Allah (s.w.t), bukan untuk kita kufur kepada-Nya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. Jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah (s.w.t) menyebut 'Kun', maka 'Yakun' lah apa yang dikehendaki-Nya.
Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.
Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah (s.w.t.) sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah takdirkan.
Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.
Di Manakah Cantiknya Seorang Wanita
Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja.
Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak.
Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan.
Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.
Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.
Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.
Anda ingin lebih cantik dan menarik?
# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian."
# Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu."
- Artikel iluvislam.com
Lima Syarat Berbuat Maksiat
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata:
01."Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-Nya."
Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.
"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
02."Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.Ibrahim kembali berkata kepadanya:
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:
03."Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan:
04."Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh"
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:"Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab:
05."Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.
Subscribe to:
Posts (Atom)






